PERKENALANNYA bermula melalui laman sosial namun dengan izin Allah
SWT membuatkan hati seorang isteri terbuka untuk melamar kenalan
terbabit yang juga ibu tunggal menjadi madunya.
Khuzatul Atiqah
Abu Seman, 31, memilih untuk melamar Nur Fathonah Abdul Rahim, 30,
sebagai isteri kedua suaminya, Samuel Dzul, 29, sebelum pasangan
terbabit selamat diijab kabul, baru-baru ini.
Ia
bukan sesuatu yang mudah namun bagi Khuzatul Atiqah yang sarat
mengandung anak sulungnya kerana dia mahukan kehidupan suami tidak
terabai serta mendapat layanan adil.
Lebih
menggembirakan apabila mereka memilih untuk tinggal sebumbung di Shah
Alam, Selangor yang bukan sahaja membolehkan mereka beribadah
bersama-sama malah berkongsi kasih.
“Selepas disahkan mengandung,
saya tidak sihat. Suami terpaksa dukung setiap hari untuk naik ke
pejabat di tingkat tiga. Apabila melihat wajah suami, hati saya terdetik
untuk membantunya dan saya berusaha mencari seorang lagi isteri
untuknya.
“Saya terfikir jika keadaan ini berterusan siapa hendak
jaga suami. Lantaran, saya mengambil keputusan untuk mencari jodoh
untuknya.
“Ramai wanita yang saya temui, ada antara mereka masih
anak dara tetapi apabila memberitahu niat saya, mereka memberi pelbagai
alasan. Hinggalah saya bertemu Nur Fathonah dan saya melamarnya untuk
suami,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, pertemuan
berlaku tahun lalu dan pada ketika itu, Khuzatul Atiqah tidak berbincang
mengenai niatnya sehingga pertemuan kedua beberapa bulan kemudian.
“Ketika
itu, saya memegang tangannya dan memberitahu niat saya. Saya tahu dia
ibu tunggal dua anak dan melihat kepada keperibadiannya selain solat
istikharah memohon petunjuk daripada-Nya.
“Dia (Nur Fathonah)
tidak terkata apa-apa dan hanya memandang mata saya. Saya jelaskan
kepadanya kebaikan serta pendapat mengenai berpoligami. Alhamdulillah,
dia terima lamaran hingga disatukan,” katanya.
Sebelum ini, Khuzatul Atiqah memuat naik status kisah dia membantu mencarikan calon untuk suaminya.
Coretan
itu mendapat pujian ribuan netizen malah ada yang memuji kemuliaan
hatinya demi memastikan kehidupan suaminya terjaga sepanjang masa.
“Sesungguhnya...
cantik aturan Tuhan. Saya pernah menolak poligami, tapi Allah takdirkan
saya berkahwin dengan keluarga suami yang mengamalkan poligami. Dari
pengamatan saya, sangat banyak kelebihan dan manfaat poligami yang saya
nampak dengan mata kepala saya sendiri. Ayah mentua ada 3 orang isteri,
di mana arwah ibu adalah isteri pertama.
Dipendekkan cerita,
sepanjang 10 tahun berkahwin dan 5 tahun pertama duduk bersama keluarga
mentua, secara tak langsung saya menyimpan cita-cita untuk mempunyai
keluarga poligami yang harmoni.”
Tidak kurang juga coretan
madunya, Nur Fathonah: “Ya Allah terima kasih Ya Allah. Untuk segala
nikmat yang diberikan. Tak pernah saya sangka untuk hidup dalam keluarga
yang berpoligami.
Sesungguhnya tidak pernah terlintas pun dalam diri
saya untuk berpoligami. Setelah saya berpisah dengan bekas suami, saya
telah bertekad untuk tidak berkahwin lagi apatah lagi akan menerima
suami orang. Sejak dari itu, kehidupan saya hanyalah untuk saya dan
anak-anak saya sahaja.
“Saya bertungkus lumus siang dan malam demi
untuk mencukupkan keperluan kehidupan. Walaupun begitu, di mata
masyarakat, saya masih isteri orang dan saya sedaya upaya cuba menutup
status sebenar saya sebagai ibu tunggal. Ini kerana, bagi saya, saya
tidak mahu orang mengambil kesempatan dan saya dipandang rendah dan
hina.”
Khuzatul Atiqah dia tidak menjangka status dimuat naik itu dikongsi warga maya hingga tular di media sosial.
“Kehidupan
bermadu saya banyak pelajari daripada keluarga mentua. Bapa mentua saya
berkahwin tiga dan saya masih mempunyai tiga ibu mentua,” katanya.
Ditanya
apa reaksi suaminya apabila dia mahu mencari isteri kedua, Khuzatul
Atiqah berkata, suaminya tidak banyak tanya dan sekadar melemparkan
senyuman.
“Semua sudah selesai, saya bukan sahaja menghadiahkan
sesuatu untuk suami malah turut membantu Nur Fathonah yang sebelum ini
bergelar ibu tunggal,” katanya.
Ketiga-tiga pasangan terbabit
menetap bersama di rumah di Shah Alam dengan membuka sebuah studio
rakaman di Seksyen 15, Shah Alam.
“Status yang dimuat naik itu
kerana mahu menceritakan perkara sebenar. Ini kerana, ada yang salah
faham dan melemparkan fitnah kepada madu saya,” katanya.
Sumber : Hmetro